Wednesday, 31 October 2012

Tenanglah Duhai Hati

Assalamualaikum

Setiap hari kita ketawa. Setiap hari kita jumpa kawan. Setiap hari kita dapat apa yang kita nak. Tapi..kenapa hati kita tak gembira?

Kita sembahyang setiap hari. Kita berdoa selalu pada Allah. Kita mintak sungguh-sungguh pada Allah. Tapi..kenapa susah sangat doa kita nak makbul? Sedangkan Allah ada berfirman. "Berdoalah pada Ku, nescaya akan Ku kabulkan...,"

Apa masalah kita?

Hati kita tak gembira sebab kita tak pernah bersyukur dengan apa yang kita ada. Kita tak pernah nak menghargai setiap nikmat yang kita dapat. Kita asyik memikirkan benda yang kita tak ada, sampai kita lupa melihat nikmat sekeliling kita.

Kita berdoa, tapi kenapa payah sangat doa kita Allah nak makbulkan?
Sebab kita asyik meminta pada Allah, tapi kita tak pernah mintak ampun pada Allah, sedangkan dosa-dosa kita terlampau banyak pada Allah. Alangkah tidak malunya kita. Kita merintih, kita merayu agar Allah makbulkan doa kita. Tapi, lepas kita dapat kesenangan kita lupa pada Allah, kita tak bersyukur pada Allah. Bila dah datang kesusahan, baru nak ingat Allah balik. Baru nak menangis, merintih..mintak Allah pandang kita. Macam mana Allah nak makbulkan doa kita?

Cuba kita renung diri kita. Cuba hitung, berapa kali kita sebut kalimah syukur dalam satu hari? Tak payah seminggu, cukuplah sehari sahaja. Berapa kali agaknya? Itupun kalau ada sebut la..

Pernah kita bangun malam, solat sunat...solat tahajud..solat taubat? Pernah? Ada...waktu zaman sekolah dulu. Itupun, lepas kene ketuk dengan warden, suruh bangun. Lepas tu...ada? Ada...time dah nak exam...waktu rasa result macam ada aura nak fail. Siap buat solat hajat lagi! Lepas dapat result tu, ada tak buat sujud syukur? Hmm...entah la, tak ingat pulak.

Hari-hari kita buat baik. Kita tolong orang. Kita sedekah dekat orang. Kita buat macam-macam. Tapi kenapa kita tak dapat nak rasa kemanisan setiap perbuatan yang kita lakukan tu? Hati kita tetap jugak tak tenang. Kenapa ye? Sebab dalam hati kita tak ada sifat ikhlas. Mulut cakap ikhlas, hati kata lain. Macam mana tu? Kita tolong orang sebab nak harapkan balasan. Nakkan pujian. Nakkan nama. Kita riak dengan setiap kebaikan yang kita buat. Macam mana hati nak tenang? Bila dapat kejayaan, kita bangga dengan apa yang kita ada. Mula nak menunjuk-nunjuk dekat orang. Sampai lupa siapa sebenarnya yang bagi kejayaan tu dekat kita.

Alangkah tidak malunya kita..., Allah ciptakan kita sebagai khalifah di bumi ni. Kitalah sebaik-baik kejadian yang Allah pernah ciptakan sehinggakan semua makhluk sujud pada bapa kita, Nabi Adam kecuali Iblis Laknatullah. Betapa Allah muliakan kejadian manusia. Tapi, kita sendiri tidak memelihara diri kita. Kita lupa tanggungjawab kita sebagai hamba. Kita lupa kepada yang mencipta diri kita. Bahkan, kita alpa dengan nikmat yang ada. Nabi Muhammad s.a.w, pada saat malaikat ingin mencabut nyawa Baginda, Baginda masih memikirkan umat-umatnya. Ummati! Ummati! Sampai begitu sekali sayang Rasulullah pada kita. Tapi kita....? Kita lupa pada Baginda Rasul. Berat benar lidah kita nak berselawat ke atas baginda.

Macam mana hati kita nak tenang?

Lembutkanlah hati kita. Tundukkan lah diri kita pada Allah. Bersyukur dengan nikmat yang Allah pinjamkan pada kita. Semua itu tidak akan kekal. Bila-bila masa Allah boleh tarik balik semua itu. Ikhlas kan lah hati dalam setiap perkara yang kita buat.

Sesungguhnya, hanya Allah sahaja yang berkuasa menilai keikhlasan hati kita. Insya Allah, kita akan dapat merasai kelazatan halawatul iman itu sendiri. Tenanglah dikau wahai hati...

Disediakan Oleh,
Nurizzati Bt Mohd Alip,
Unit Penerbitan Bahagian Dakwah.

 JAIS

Tuesday, 30 October 2012

Penghayatan Al-Quran

Assalamualaikum

 
Bulan Ramadhan dinamakan juga dengan Syahrul Quran iaitu Bulan Al-Quran. Ia diturunkan pada 17 Ramadan yang di sambut sebagai Nuzul al- Quran. Turunnya al-Quran secara beransur-ansur selama 23 tahun mengikut keadaan dan suasana masyarakat pada waktu itu di mana ia dinamakan juga sebagai Asbabun Nuzul iaitu sebab-sebab turun ayat. Firman Allah S.W.T dalam al-Quran:

"Bulan Ramadhan yang diturunkan padanya al-Quran sebagai hidayah (petunjuk) kepada manusia dan keterangan-keterangan tentang petunjuk dan pemisah antara yang hak dan yang batil"(Surah al-Baqarah :185)

"Sesungguhnya  Kami telah menurunkan (al-Quran ) ini pada malam al-Qadr.Dan apakah engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran malam al- qadr?. Malam al-Qadr itu lebih baik dari seribu bulan. Pada malam itu, para malaikat dan Jibril turun dengan izin tuhan mereka, untuk mengatur segala urusan. Sejahtera malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar" (Surah al-Qadr: 1-5)

WAHYU PERTAMA

Wahyu pertama turun kepada nabi ialah Surah al-Alaq ayat 1-5 ketika nabi bersendirian beribadah kepada Allah di Gua Hira. Ketika Jibril a.s. datang dan mengajar nabi dengan "Iqra Ya Muhammad". Nabi menjawab "Aku tak pandai membaca". Jibril peluk nabi dan mengatakan lagi: Iqra ya Muhammad.  Nabi jawab: " aku tak pandai membaca". Sebanyak tiga kali sehingga akhirnya Jibril ajarkan nabi dengan ayat tersebut.

Hikmah yang paling besar apabila nabi dilahirkan  dalam keadaan ummi ( buta huruf ) supaya orang kafir Quraisy tidak dapat mendakwa bahawa al-Quran dicipta oleh Nabi Muhammad. Sifat tersebut tidak sama sekali menjatuhkan martabat sebagai seorang nabi.

SYAFAAT AL-QURAN DAN PUASA

Nabi s.a.w telah bersabda:

" Puasa dan al-Quran memberi syafaat kepada para hamba pada Hari Kiamat. Puasa berkata: "Wahai Tuhanku aku telah menhalangnya daripada makan dan minum serta mengikut syahwat pada siang hari, maka izinkanlah aku memberi syafaat kepadanya". AlQuran berkata: " wahai Tuhanku, aku telah menghalanginya daripada tidur pada malam hari, maka izinkan aku memberi syafaat kepadanya, lalu diterimalah syafaat keduanya"(Hadis riwayat Ahmad, Ibnu Abi dunya, al-Tabrani dan Hakim)

TADARUS AL-QURAN

Tadarus al-Quran ialah mempelajari al-Quran atau dengan kata lain Tahsin Qiraah secara berkumpulan paling minima 2 orang. Rasulullah bertadarus dan bertalaqi dengan Jibril pada bulan Ramadhan. Kebanyakan kita membaca al-quran secara individu. Tidak menjadi masaalah jika kita mahir dan pasti tidak salah dalam membaca al-Quran. Bagi mereka yang apabila membaca seorang diri mungkin tersalah atau memang akan banyak salah , maka lebih baik bertadarus secara berkumpulan supaya kesalahan dapat dibetulkan.
Apa ertinya membaca al-Quran dan khatam 30 juzuk selama sebulan Ramadhan tetapi apa yang dibaca banyak berlaku kesilapan. Bahasa arab adalah diantara bahasa yang agak sukar. Berubah baris kadangkala berubah makna. Sebagai contoh perkataan "mar'ah" dengan berbaris atas huruf mim membawa maksud perempuan. Apabila kita ubah dengan membaca "mir'ah" dengan membaris bawahkan huruf mim , maka ia telah berubah makna iaitu "cermin".

PAHALA MEMBACA AL-QURAN

"Sebaik-baik kamu ialah orang yang mempelajari al-Quran dan mengajarkannya kepada orang lain"( Hadis Riwayat Buhari)
"Sesiapa yang membaca satu huruf daripada Kitab Allah (al-Quran) , maka baginya satu kebajikan dan satu kebajikan itu digandakan menjadi sepuluh yang seumpamanya. Tiadalah aku mengatakan, Alif Lam Mim itu satu huruf, tetapi Alif itu satu huruf, Lam itu satu huruf dan Mim itu satu huruf" (Hadis Riwayat Tirmizi)

"Amalan yang paling utama bagi umatku adalah membaca al-Quran" (Hadis Riwayat al-Baihaqi)

"Sesiapa yang membaca al-quran, dengan berdiri (dalam solat) pada sebahagian malam dan siang, dia menghalalkan apa-apa yang dihalalkan al-Quran, dan mengharamkan apa-apa yang diharamkan al-Quran, melainkan Allah mengharamkan dagingnya daripada dibakar oleh api neraka" (Hadis Riwayat Ibnu Ma"sud)

"Tuhan kami tabaraka wa Taala telah berfirman: "Sesiapa disibukkan oleh al-Quran lantaran mengingati Aku dan memohon sesuatu permohonan kepadaKu, nescaya aku anugerahkan kepadanya sesuatu apa yang Aku berikan kepada orang-orang yang meminta. Keutamaan Kalamullah atas segala perkataan yang lain itu, adalah seperti keutamaan Allah atas makhlukNya" ( Hadis Riwayat Tarmizi)

CAHAYA AL-QURAN

"Sinarilah rumah-rumah kamu dengan solat dan membaca al-Quran"(Hadis Riwayat al-Baihaqi)

"Aku (Abu Dzar) berkata, wahai Rasulullah, berikan aku nasihat. Nabi bersabda:"Hendaklah engkau bertaqwa kepada allah, kerana ia teras bagi semua perkara". Aku berkata lagi: "Tambahkan untukku ya Rasulullah". Baginda bersabda: " Hendaklah engkau melazimkan membaca al-quran, kerana ia cahaya untukmu di bumi dan perbendaharaan untukmu di langit"(Hadis Riwayat Ibn Hibban)

Wallahu a'lam bissowab

Susunan:
Ustaz Khairuddin bin Haiyon
Penolong Pengarah Bahagian Dakwah
Unit Penerangan & Penerbitan
JAIS 

Monday, 29 October 2012

Zikir Harian

Assalamualaikum


 SABTU : LAA ILAHA ILLA ALLAH

AHAD : YA HAYYU YA QAYYUM

ISNIN : LAA HAULA WALA QUWWATA ILLA BILLA HIL ALIYYIL AZIM

SELASA : ALLAHUMMA SOLLI ALA MUHAMMADIN ABDIKA WARUSULIKA NABIYYI WA UMMIYYI WA’ALA ALIHI WASOHBIHI WABARIK WASALLIM

RABU : ASTAGHFIRULLAH AL’AZZIM AL-LAZI LAA ILA HA ILLA HUWAL HAYYUL QAYYUM –

KHAMIS : SUBHANALLAHIL AZIMI WABIHAMDIH 

JUMAAT : YA ALLAH

Sumber:Google.Com