Assalamualaikum
Terdapat 15 kebaikan-kebaikan al-Quran di dalam hadis-hadis sahih
:
Pertama : Al-Quran akan menjadi syafaat dihari akhirat.
Daripada
Abu Umamah r.a berkata : Aku mendengar Rasulullah S.A.W. bersabda:
“Bacalah
al-Quran sesungguhnya ia akan datang di hari kiamat sebagai syafaat kepada
pembacanya”. (Hadis Riwayat Muslim)
Kedua : Al-Quran sebagai pembela
(mempertahankan) orang yang membacanya dihari akhirat.
Daripada Nawwas
Bin Sam’an r.a. telah berkata : Aku mendengar Rasulullah S.A.W. bersabda : “Di
hari akhirat kelak akan didatangkan al-Quran dan orang yang membaca dan
mengamalkan isi kandungannya, didahului dengan Surah Al Baqarah dan Surah
Ali-Imraan, kedua-dua surah ini menghujah ( mempertahankan ) orang yang membaca
dan mengamalkannya”. (Hadis Riwayat Muslim)
Ketiga : Sebaik-baik amalan
adalah orang yang belajar dan mengajarkan al-Quran.
Daripada Osman Bin
‘Affan r.a. telah berkata: Rasulullah S.A.W. bersabda : “Sebaik manusia di
antara kamu orang yang mempelajari al-Quran dan mengajarnya kepada orang
lain”.
(Hadis Riwayat Bukhari)
Keempat : Membaca al-Quran dan susah
menyebutnya mendapat dua pahala.
Daripada Aisyah r.a. telah berkata:
Bersabda Rasulullah S.A.W. : “Orang yang membaca al-Quran dan susah untuk
menyebut ayatnya ia mendapat dua pahala”.
(Hadis Riwayat Bukhari dan
Muslim)
Kelima : Mukmin yang membaca al-Quran umpama buah yang harum dan
sedap rasanya.
Daripada Abu Musa Al Asy’ari r.a. telah berkata :
Rasulullah S.A.W. bersabda : “Umpama orang mukmin yang membaca al-Quran seperti
buah Utrujjah ( seperti limau besar ) baunya wangi dan rasanya sedap. Umpama
orang mukmin yang tidak membaca al-Quran seperti buah tamar tidak ada bau dan
rasanya manis, dan umpama orang munafik yang membaca al- Quran seperti Raihanah
(sejenis pokok) baunya wangi dan rasanya pahit dan umpama orang munafik yang
tidak membaca al-Quran seperti buah labu yang tiada bau dan rasanya
pahit”.
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Keenam : Allah SWT
mengangkat martabat golongan yang membaca al-Quran.
Daripada Omar Bin Al
Khattab r.a. Bahawa Nabi Muhammad S.A.W. bersabda: “Sesungguhnya Allah
mengangkat martabat beberapa golongan dan merendahkan martabat yang lain dengan
sebab al-Quran”.(Hadis Riwayat Muslim)
Ketujuh : Kefahaman yang sahih
tentang al-Quran akan menjadi contoh ikutan.
Daripada Ibnu Omar r.a.
daripada Nabi Muhammad S.A.W. telah bersabda:
“Tidak boleh berhasad dengki
kecuali di dalam dua perkara : Lelaki yang dianugerahkan kefahaman yang sahih
tentang al-Quran, ia menunaikan ibadat siang dan malam , lelaki yang
dianugerahkan kemewahan harta lalu dinafkahkannya siang dan malam”.
(Hadis
Riwayat Bukhari dan Muslim)
Kelapan : Membaca al-Quran akan mendapat
ketenangan (sakinah)
Daripada Barra’ dan daripada ‘Azib r.a. telah
berkata : “Seorang lelaki membaca Surah Al Kahfi dan di sisinya seekor kuda yang
diikat dengan dua tali, maka awan di langit mula melindunginya dan semakin
hampir, dan kudanya mula menjauhinya. Apabila menjelang pagi beliau pergi
berjumpa Nabi Muhammad S.A.W. dan menceritakan peristiwa tersebut maka baginda
bersabda : Itulah ( sakinah ) ketenangan yang turun disebabkan bacaan
al-Quran”.
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Kesembilan : Sesiapa
yang tidak mengingati ayat-ayat al-Quran umpama rumah yang
roboh.
Daripada Ibnu ‘Abbas r.a. beliau berkata : Rasulullah S.A.W.
bersabda : “Sesungguhnya orang yang tidak ada di dalam ingatannya sesuatu pun
daripada ayat al-Quran seperti rumah yang roboh”. (Hadis Riwayat Tarmizi dan
beliau berkata: Hadis ini hasan sahih)
Kesepuluh : Membaca dan
memperelokkan bacaan al-Quran akan mendapat kebaikannya.
Daripada
Abdullah Bin ‘Umru Bin Al ‘As r.a. Nabi Muhammad S.A.W. bersabda :
“Satu masa
nanti akan dikatakan kepada orang yang membaca al-Quran: Bacalah, perbaikkilah
dan perelokkanlah bacaan al-Quran sepertimana engkau memperelokkan urusan di
dunia, sesungguhnya tempat engkau akan ditentukan di akhir ayat yang engkau
bacakan”. ( Hadis Riwayat Abu Daud dan Tarmizi dan beliau berkata : Hadis ini
hasan sahih )
Kesebelas : Membaca beberapa ayat al-Quran lebih baik
daripada mendapat unta yang gemuk.
Daripada ‘Uqbah Bin ‘Amir r.a.
menceritakan : Rasulullah S.A.W keluar dan kami berada di tempat duduk masjid
yang beratap. Maka beliau bersabda: “Siapakah di antara kamu yang suka keluar di
pagi hari pada setiap hari menuju ke Buthan atau ‘Atiq, dan dia mengambil
darinya dua ekor unta yang gemuk dalam keadaan dia tidak melakukan dosa dan
tidak putus hubungan silaturrahim”. Kami menjawab : “Kami suka demikian itu.
Sabda Rasulullah S.A.W : “Kenapakah kamu tidak pergi ke masjid belajar atau
membaca dua ayat Al Quran lebih baik dari dua ekor unta, tiga ayat lebih baik
dari tiga ekor, empat ayat lebih baik dari empat ekor unta demikianlah
seterusnya mengikut bilangan ayatnya”. (Hadis Riwayat Muslim)
Kedua belas
: Sesiapa yang lebih fasih memebaca al-Quran lebih layak menjadi imam solat
berjemaah.
Daripada Ibnu Mas’ud r.a bahawa Nabi Muhammad S.A.W bersabda :
Orang yang paling layak mengimami kaum di dalam sembahyang ialah mereka yang
terfasih membaca al-Quran”. (Hadis Riwayat Muslim )
Ketiga belas : Nabi
SAW mengutamakan sahabat yang paling kuat berpegang teguh kepada al-Quran untuk
dikebumikan jenazah mereka.
Daripada Jabir Bin Abdullah r.a. bahawa Nabi
Muhammad S.A.W. menghimpun antara dua lelaki yang terbunuh di peperangan Uhud
kemudian baginda bersabda : “Yang mana satukah antara keduanya yang paling kuat
berpegang teguh dengan al-Quran maka apabila aku tunjukkan kepada salah seorang
daripada keduanya maka dialah orang yang pertama masuk ke liang lahad”. (Hadis
Riwayat Bukhari, Tarmizi, Nasa’ie dan Ibnu Majah)
Keempat belas :
Kelebihan berdoa selepas membaca al-Quran.
Daripada ‘Imran Bin Husain
Bahawa beliau lalu di hadapan qari yang sedang membaca al-Quran kemudian dia
berdoa kepada Allah kemudian ia kembali membaca kemudian ia berkata aku
mendengar Rasulullah S.A.W. bersabda : “Barangsiapa yang membaca al-Quran maka
berdoalah kepada Allah dengan al-Quran maka sesungguhnya akan datang beberapa
kaum yang membaca al-Quran dan mereka berdoa dengannya”.
(Hadis Riwayat
Tarmizi, beliau berkata : Hadis ini hasan)
Kelima belas : Setiap satu
huruf membaca al-Quran akan mendapat sepuluh ganjaran pahala.
Daripada
Ibnu Mas’ud r.a. ia berkata : “Barangsiapa yang membaca satu huruf daripada al-
Quran maka baginya satu kebaikan, satu kebaikan menyamai dengan sepuluh pahala,
aku tidak bermaksud : Alif , Lam , Mim ialah satu huruf, tetapi Alif satu huruf,
Lam satu huruf dan Mim satu huruf”.(Hadis Riwayat Ad Darimi Tarmizi, beliau
berkata hadis ini hasan sahih)