Hari ‘Asyura merupakan hari yang kesepuluh daripada bulan Muharram.
Rasulullah S.A.W telah menggalakkan umat Islam agar berpuasa pada hari ini
kerana ia mempunyai kelebihan yang tersendiri disamping kelebihan bulan Muharram
itu sendiri.10 Muharram juga telah mencatatkan beberapa peristiwa penting untuk
renungan kita bersama iaitu pada hari inilah nabi Musa dan pengikutnya telah
diselamatkan oleh Allah daripada musuh mereka.
Pada hari ini juga tercatat peristiwa pahit dalam sejarah Islam iaitu
pembunuhan kejam ke atas tubuh yang mulia Sayyidina Husin yang merupakan cucu
kesayangan Rasulullah S.A.W di bumi Karbala. Pembunuhan yang kejam ini dilakukan
oleh Syiah Kuffah bukannya oleh tentera Yazid bin Mu’awiyah sebagaimana didakwa
oleh sesetengah pihak. Walaupun adanya mazhab Syiah yang menyatakan bahawa pada
hari ini tidak boleh berpuasa kerana kita semua mesti bersedih dengan pembunuhan
Sayyidina Hussin pada 10 Muharram. Kita jawab balik kepada pendapat mereka
bahawa kita semua disunatkan berpuasa pada setiap hari Isnin sedangkan pada hari
Isnin merupakan hari kewafatan junjungan besar Muhammad S.A.W yang lebih besar
kesedihannya tetapi kita semua tetap berpuasa sunat pada hari tersebut. Insya
Allah kita akan kupas mengenai peristiwa Karbala ini dalam ruangan khas pada
keluaran akan datang.
Disini dibawa beberapa hadis yang sohih mengenai
kelebihan berpuasa pada 10 Muharram yang dikenali sebagai hari ‘Asyura.
Daripada Ibnu Abbas telah berkata : Apabila Rasulullah S.A.W tiba di Madinah
maka baginda telah melihat orang yahudi berpuasa pada hari kesepuluh (Muharram)
maka baginda bertanya yang bermaksud : Apakah ini?. Maka jawab mereka : Ini
merupakan hari yang baik yang mana pada hari inilah Allah SWT menyelamatkan bani
Israel daripada musuh mereka maka nabi Musa berpuasa pada hari ini. Maka sabda
baginda S.A.W : Maka aku lebih layak dengan nabi Musa daripada kamu maka baginda
berpuasa pada hari ini. Dan baginda menyuruh untuk berpuasa pada hari ini.
(Telah dikeluarkan oleh imam Bukhari, Muslim dan Abu Daud)
Daripada Abdullah bin Ma’bad az-Zamani daripada Abu Qatadah bahawa nabi s.A.W
telah bersabda yang bermaksud : Berpuasa pada hari ‘Asyura (kesepuluh Muharram)
sesungguhnya aku mengharapkan atas Allah SWT bahawa Dia akan menghapuskan dosa
setahun yang sebelumnya. (Diriwayatkan oleh imam Tarmizi)
Daripada Ibnu Shihab daripada Hamid bin Abdul Rahman bahawa dia telah
mendengar Mu’awiyah bin Abu Sufian berucap pada hari ‘Asyura tahun haji di atas
mimbar : Wahai penduduk Madinah! Dimanakah ulama’ kamu? Aku telah mendengar
Rasulullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud : Ini adalah hari ‘Asyura dan
Allah tidak mewajibkan ke atas kamu berpuasa. Aku berpuasa (pada hari ini) maka
sesiapa yang mahu berpuasa berpuasalah dan sesiapa yang mahu (berbuka) maka
berbukalah. (Dikeluarkan oleh imam Bukhari, Muslim dan Abu Daud)
Hadis ini menjelaskan kepada kita berkenaan dengan kelebihan berpuasa pada
hari ‘Asyura. Ulama’ juga berpesan agar kita turut berpuasa pada hari kesembilan
Muharram bagi membezakan antara puasa kita dengan yahudi yang berpuasa pada hari
kesepuluh Muharram.Yahudi berpuasa pada hari tersebut kerana pada 10 Muharamlah
nabi Musa dan pengikutnya diselamatkan daripada Firaun dan tenteranya yang
zalim.
Hukum berpuasa pada hari ini adalah disunatkan bukannya satu kewajipan.
Siapa yang mahu berpuasa maka bolehlah berbuat demikian dan ganjaran yang besar
dijanjikan kepada mereka yang berpuasa pada hari ini iaitu diampuni segala
dosanya pada tahun-tahun yang lalu.Semoga kita dapat menggunakan segala peluang
yang ada untuk menambahkan amalan sebagai bekalan di akhirat nanti.
نويت صوم عشر سنة لله تعالى
NAWAITU SAUMA ‘ASYURA LILLAHI TA’ALA
Ertinya: “Sahaja aku puasa hari ’Asyura , sunnah kerana Allah ta’ala.”
Sumber: islamituindah
No comments:
Post a Comment